Setiap wanita yang bakal bergelar ratu sehari tentunya ingin kelihatan cantik dan menawan. Namun begitu, bagi wanita muslimah yang mengenakan hijab seringkali rungsing dan keliru untuk menggayakan fesyen yang sesuai di majlis raikan cinta. Pastinya busana yang dikenakan harus terlihat sopan dan berlandaskan syariat agama. Entri kali ini berkongsikan kriteria-kriteria buat fesyen pengantin muslimah.
MENUTUP AURAT
Umum mengetahui bahawa syarat utama dalam pemakaian seorang Muslimah adalah menutup aurat. Justeru itu, busana pengantin anda haruslah menepati kriteria ini. Pastikan busana pilihan itu dapat menutupi aurat anda dengan sempurna agar anda boleh berasa selesa dan yakin semasa majlis bahagia itu. Usah risau, banyak pilihan busana Muslimah masa kini yang mampu menampilkan keayuan dan kejelitaan meskipun menutup aurat.
PEMILIHAN FABRIK
Pemilihan fabrik juga perlu dititikberatkan. Ini kerana jika tersalah pilih dan terlepas pandang mengenai hal ini, ia mungkin boleh mencacatkan penampilan anda sebagai seorang Muslimah. Pastikan fabrik yang anda pilih tidak terlalu nipis sehingga menampakkan susuk tubuh. Seelok-eloknya busana yang akan dipakai mempunyai lapisan dalam yang juga dikenali sebagai ‘inner’ agar penampilan anda kelihatan lebih sopan dan juga menawan. Anda juga harus bijak dalam memilih fabrik agar fabrik yang dipilih itu tidak melekat di tubuh apabila dipakai. Satin sebagai contohnya, tidak digalakkan kerana sifatnya yang mudah melekat dan sekali gus menampak susuk tubuh pemakainya.
PEMILIHAN RONA
Bagi sesetengah wanita, pemilihan warna busana pengantin mungkin tidak relevan dalam menampilkan imej Muslimah yang sebenar. Namun sebenarnya anda disarankan agar tidak memilih warna yang menonjol dan terang. Ini kerana dikhuatiri akan menarik perhatian tetamu lelaki terutamanya yang mana adalah tidak digalakkan. Bukankah warna-warna lembut seperti krim, biru muda dan warna pastel lain itu lebih menyedapkan mata dan menaikkan seri pengantin anda? Jadi, mengapa ragu-ragu memilihnya?
PERINCIAN
Busana pengantin tidak lengkap tanpa perincian tambahan seperti manik, kain lace, batu permata dan lain-lain. Busana pengantin Muslimah juga tidak ketinggalan dengan hiasan yang menarik dan cantik ini. Hanya pastikan hiasan itu tidak terlalu sarat dan keterlaluan. Sederhanalah dengan hiasan tambahan pada busana pengantin Muslimah idaman anda tersebut. Hiasan yang ringan dan tidak terlalu sarat tetapi memberi impak eksklusif adalah lebih baik untuk dikenakan pada hari bahagia tersebut. Selain itu, pemakaian busana pengantin Muslimah yang panjang berjela-jela juga tidak digalakkan.Anda bijak memilih, anda menang memakai. Dan paling penting sekali, imej anda sebagai seorang Muslimah masih terjaga dan terpelihara.
TUDUNG YANG SESUAI
Pemilihan tudung juga perlu sesuai dengan tema dan majlis. Elakkan dari memilih tudung yang terlalu sarat dan mempunyai corak atau motif. Pilihlah tudung yang ringkas dan polos agar bila anda padankan dengan tiara dan layah, pastinya gaya anda kelihatan elegan dan sempurna. Sekiranya anda ingin memilih tudung yang mempunyai perincian, cukup sekadar yang minimalis dan tidak keterlalun. Bimbang penampilan anda kelihatan sarat dan menenggelamkan aura seri wajah anda. Selain itu, pemilihan fabrik buat tudung juga amat penting. Anda boleh memilih tudung jenis sifon dan como crepe. Tudung ini akan memudahkan gaya lilitan dan tampak lebih terletak dan kemas.
3 comments:
nice info
Info yang berguna. Teruskan memberi info yang bermanfaat.
Good
Post a Comment